Friday, May 18, 2012

Doa Siapa ?

 










    Bercakap mengenai doa, saya teringat satu kisah yang sangat-sangat memberikan kesan dalam kehidupan saya. Guru-guru saya di sekolah semenjak sekolah rendah mengajar saya adab-adab berdoa . Apabila Allah menganugerahkan saya kejayaan saya sentiasa beranggapan bahawa saya telah berdoa dengan bersungguh-sungguh. Namun satu cerita mengubah persepsi saya.

Cerita yang saya dengar itu begini:

Kisah berkenaan seorang abang dan seorang adik. Kedua-duanya adalah anak yatim lagi miskin. Mereka tinggal di rumah pusaka peninggalan ibu bapa mereka. Kedua ibu bapa mereka adalah hamba Allah yang soleh. Kedua-dua anak dididik untuk bergantung harap pada Allah . Si abang saban hari berdoa agar Allah mengubah nasib hidupnya.

Dia meminta kepada Allah agar dipertemukan dengan isteri yang cantik lagi kaya.

Dia meminta kepada Allah agar dirinya kaya raya.

Si Adik pula, seorang yang buta huruf. Tidak seperti abangnya , dia membaca doa pun dengan melihat kertas. Sebelum bapanya meninggal, dia pernah meminta bapanya menulis sesuatu di atas kertas dan kertas itu sering dipegangnya setiap kali berdoa.

Akhirnya Allah mempertemukan seorang perempuan yang cantik lagi kaya dengannya. Perempuan itu jatuh hati kepadanya lantas berkahwin. Si Abang seperti mendapat durian runtuh dan kehidupannya terus berubah. Dia keluar dari rumah pusaka dan meninggalkan adiknya.

Si Abang akhirnya kaya raya, malah terus kaya apabila dia memasuki medan bisnes. Dia sudah mula alpa dengan Allah , melewat-lewatkan solat, jarang membaca Al-Quran, tapi tidak pernah lalai untuk meminta kekayaan daripada Allah . Kalau masuk dalam bab perniagaan, kekayaan dunia , maka berterusan doanya kepada Allah dan ajaibnya doanya dimakbulkan, Allah memberi apa yang dia minta. Si abang merasai dirinya istimewa .

Si adik pula, hidupnya tidak berubah. Dia masih seorang sederhana , dengan kelemahannya sebagai seorang buta huruf , dia hanya mendapat kerjaya sederhana , terus menjaga rumah pusaka . Si adik juga rajin berdoa . Si abang tahu , si adik rajin berdoa tetapi Si Abang melihat  hidup adiknya tidak berubah-ubah. Lantas satu hari ketika Si Abang menziarahi adiknya,

Si Abang berkata dengan sombong:

“Kau kena berdoa kuat lagi. Tengok aku, berdoa je Allah makbulkan. Kau ni tak cukup hampir dengan Allah ni.

 Berdoa pun masih tengok-tengok kertas. Tak cukup hebat.”

Si Adik tersenyum sahaja , gembira melihat abangnya menegur adiknya, teguran Si Abang amat bermakna.

Si Adik terus hidup sederhana, di dalam rumah pusaka, dengan doa melihat kertas saban hari, dan kehidupannya tetap tidak berubah. Tidak menjadi kaya seperti abang. Satu hari Si Adik meninggal dunia.

Ketika Si Abang mengemas-kemas rumah pusaka, dia berjumpa satu kertas. Kertas itu adalah kertas yang adiknya sering pegang ketika berdoa. Si Abang menangis teresak-esak apabila membaca kertas kecil itu. Kertas itu tertulis:

“ Ya Allah, makbulkanlah segala doa abangku”


MasyaAllah…


Si Abang mula membandingkan dirinya dengan adiknya. Adiknya kekal taat kepada Allah dan tidak sesekali meringan - ringankan urusannya dengan Allah . Adiknya, sedikit pun tidak meminta dunia kepada Allah malah tidak meminta apa-apa untuk dirinya. Tetapi adiknya meminta agar segala doa Si Abang dimakbulkan. Si Abang, tidak pernah sedikit pun mendoakan adiknya .Si Abang mula sedar rupanya bukan doa dia yang makbul tetapi doa adiknya telah diterima oleh Allah lantas segala doanya menjadi makbul.

"Aku buat beginilah yang jadi begini."

"Doa aku makbul!"

"Aku ni memang Allah sayang. Tengok semua benda Allah bagi. Aku minta je pun."

Tanpa sedar kita bongkak. Takabbur.

Sedangkan kita tak tahu, mungkin yang makbul itu adalah doa ibu bapa kita, doa adik beradik kita, doa sahabat-sahabat kita. Bukannya doa kita.

Cerita ini sangat menyentuh hati saya. Membuatkan setiap kali saya berdoa, saya tidak lupa mendoakan
ibu bapa saya, guru-guru saya,adik beradik saya, sahabat-sahabat karib saya, yang teramat akrab saya sebutkan namanya agar lebih merasai bahawa saya memerlukan mereka mendoakan saya juga.

Kita ini banyak dosa. Banyak hijab. Mungkin doa orang lain yang lebih bersih hatinya, lebih suci jiwanya yang makbul, menyebabkan rahmat Allah tumpah pada diri kita. Sebab itu jangan berlagak. Janganlah tinggi diri. Janganlah rasa doa kitalah yang makbul. Pulangkan semuanya kepada Allah. Doa itu sebahagian daripada usaha sahaja sebenarnya dan janganlah rasa segan nak minta orang lain doakan kita.Semoga bermanfaat post ini. Sebarkan jika anda rasa ada manfaatnya.Semoga Allah redha dengan kita, InsyaAllah. Wassalam.